Pages

Thursday 17 January 2013

Kepentingan Ilmu dalam Berbicara


Dalam menghadapi liku liku hidup, kita pasti sesat dalam mencari laluan kehidupan, jika sekiranya kita tidak mempunyai ilmu, bak kata pepatah "ilmu penyuluh hidup" atau "ilmu penyeri hidup". Ilmu perlu dicari dan diteroka untuk kebaikan diri dan juga manusia sejagat. Ilmu juga adalah pemangkin kepada kehidupan.
Mencari ilmu dunia dan akhirat bukan lah senang, untuk dapat ilmu yang baik, ada banyak cabaran dan juga dugaan. Ilmu yang tidak baik senang untuk diperolehi. Namun kedua-duanya dapat dikategorikan sebagai ilmu dan mencari ilmu itu adalah satu kewajipan kepada setiap manusia.
Allah berfirman, ertinya;
"Dan janganlah engkau ikuti apa yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang-nya, sesungguhnya pendengaran, pengelihatan dan hati semuanya itu akan di tanya"
(Surah al-Isra' ayat 36)
Ayat di atas menerangkan sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentang apa yang dibincangkan usah la berbicara kecuali ada pandangan. Pandangan di sini bermaksud, kita mendapat persefahaman tentang apa yang dibicarakan. Namun pandangan tersebut mestilah betul dan mengikut fakta.
Dan sabda Nabi :
"Barang siapa berbicara tentang al Qur'an dengan akal nya atau tidak dengan ilmu, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya di neraka"
(Hadist seperti ini ada dari 2 jalan, yaitu Ibnu Abas dan Jundub. Lihat Tafsir Qur'an yang diberi mukaddimah oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Arnauth hal. 6, Tafsir Ibnu Katsir dalam Mukaddimah hal. 13, Jami' As-Shahih Sunan Tirmidzi jilid 5 hal.183 no. 2950 dan Tuhfatul Ahwadzi jilid 8 hal. 277)
Berwaspadalah ketika menyampaikan sesuatu ilmu. Sekiranya ilmu yang disampaikan itu adalah salah dan boleh membawa kepada fitnah, besar dosanya buat kita. Zaman sekarang, ramai di antara kita yang sudah mula mengenali "Freedom of Speech", di mana, kita bebas untuk bersuara tidak kira usia, pangkat dan juga ilmu di dada. Apa yang tersirat di dalam hati, dapat kita luahkan begitu sahaja tanpa mengenal baik buruknya.
Sentiasa beringat tentang ilmu yang diperolehi, mungkin ilmu itu bakal berguna pada kita kelak, namun oleh kerana sudah merasa ilmu itu sudah cukup, kita mampu untuk memberi hujah dan nasihat kepada mereka yang dianggap kurang ilmu.
Ilmu datangnya dari pembelajaran dan juga pengalaman. pengalaman akan mengajar kita erti kesabaran. Ada yang mengata kesabaran dalam menuntut ilmu selalunya akan mendapat keredhaanNya. Namun, kita perlu tahu, ilmu itu adakah baik atau sebaliknya?
Orang-Orang salaf berkata : "Waspadalah terhadap cubaan orang berilmu yang buruk (ibadahnya) dan ahli ibadah yang bodoh." (Al-wala'wal bara' hal. 230)
Ramai di antara kita sudah terpedaya dengan kata-kata yang tak diteraskan dengan ilmu yang baik. Sama samalah kita momohon supaya dihindari perkara sebegini. Sentiasa bermunajat dan beristighfar kepadaNya supaya ilmu yang diperoleh tidaklah menyebabkan pengamal itu merana.
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang bermanfaat dan amal yang diterima" (Hisnul Muslim, hal. 44 no. 73).
Allah mengingatkan kita di dalam kitabNya yang bermaksud; 
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedangkan kamu mengetahuinya"
(Surah al-Baqarah ayat 42)
Setiap ilmu yang dianugerahkan kepada kita, akan ada masanya ilmu itu akan diduga oleh Allah kepada kita. Namun, setiap manusia juga dikurniakan akal olehNya untuk berfikir sama ada ilmu itu baik atau buruk baginya. Jika ia buruk, bersamalah kita untuk meninggalkannya. Jika ilmu itu baik, sama-samalah kita untuk berkongsi dengan semua.
"Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"
(Surah al-Baqarah ayat 208)
Walaubagaimanapun, setiap ilmu itu ada batasnya. Ilmu itu akan mengikut keimanan seseorang untuk menterjemahkan ia sebagai pengangan hidup. Adakala ilmu yang diperoleh terlalu tinggi, sehingga mengakibatkan dirinya tidak dapat menanggung segala dugaan yang menimpanya.
Oleh itu, beramal lah dengan ilmu itu sebaik baiknya. Lengkapkan diri dengan kekuatan iman yang kuat supaya dapat menjadi kulit kepada ilmu yang menjadi manisan di dalamnya.

wallahualam

i-THINK

Kursus iThinkProgram i-THINK ini telah dijalankan di Pusat Sumber Sekolah.Program ini adalah program yang bertujuan mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid berinovatif.Dapatan melalui kajian keperluan (needs analysis) menunjukkan bahawa kemahiran berfikir aras tinggi (higher order thinking skill – HOTS) dalam kalangan guru dan murid di Malaysia amat rendah.Guru-guru SRISS telah diberi pendedahan program tersebut dengan kendalian 4 orang guru yang telah berkursus sebelumnya.Mereka adalah Pn Razitah, Pn Jariah, Pn Duliana dan Pn Nur Azila. Diharap dengan pendedahan dan pengalaman yang telah ditunjukkan oleh 4 orang pemandu tersebut akan digunapakai sebaiknya oleh warga pendidik SRISS untuk diterapkan kepada pelajar.Tahniah dan syabas kepada warga pendidik SRISS di ats kerjasama dan tumpuan yang diberikan pada kursus ini yang berlaku dengan jayanya.

PROGRAM SRISS BERSELAWAT

Malam Sabtu 12 Januari yang lalu telah diadakan program SRISS Berselawat di bawah anjuran ALUMNI SRISS dengan kerjasama BADAR. Program ini telah dijayakan dengan penampilan pasukan Qasidah yang dianggotai oleh Alumni SRISS dari IPG Bainun. Warga SRISS merakamkam jutaan terima kasih kepada Alumni atas usaha gigih membantu SRISS melaksanakan program yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar. Semoga hubungan baik antara pihak sekolah dan alumni akan terus terjalin mesra, insyaAllah.

Tuesday 15 January 2013

Umat Islam Perlu Lahirkan Ramai Tenaga Pakar


Ilmu perubatan merupakan di antara bidang yang paling digemari oleh orang-orang Islam sejak ribuan tahun yang lalu. Pengajian dalam bidang ini telah muncul seawal abad pertama Hijrah.
Ramai tokoh-tokoh perubatan Islam telah memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sains perubatan antarabangsa untuk beberapa abad lamanya.
Karya-karya tokoh perubatan Islam seperti al Razidan Ibnu Sina merupakan rujukan asas dalam bidang perubatan di universiti-universiti Eropah.
1.Buku 'al Hawi' karya al Razi dan beberapa karya lain kekal selama beberapa abad dan digunakan dengan begitu meluas sebagai rujukan dalam ilmu perubatan.
2.Bagi karya Ibnu Sina yang terkenal bertajuk 'al Qanun Fi al Tibb' pula telah digunakan sepanjang 600 tahun, sejak abad ke 12 hingga ke 17 M sebagai rujukan asas dalam pengajian ilmu perubatan di Eropah termasuk di semua universiti  di Perancis dan Itali. Pada abad ke 15M, buku ini telah dicetak sebanyak 15 kali dalam bahasa Latin dan satu kali dalam bahasa Hebrew. Buku ini kemudiannya telah diulang cetak beberapa kali sehingga abad ke 17.
Di Baghdad, ibu kota Iraq  telah memilih ilmu perubatan dan kedoktoran sebagai cabang ilmu pengetahuan yang pertama sekali dikaji secara sistematik. Banyak hospital atau rumah sakit yang telah dibina oleh pemerintah dengan kerjasama para sarjana Islam.  
3.Khalifah Harun al-Rashid (170H/786M – 193H/809M) telah mendirikan rumah-rumah sakit(Bimaristan) di seluruh negara. Rumah-rumah sakit di Kaherah pada zaman Ibn Tulun telah diasingkan di antara wad lelaki dan wanita.
4.Khalifah Umar Bin Abdul Aziz pula telah membina hospital khas untuk merawat pesakit-pesakit kusta.
5.Tokoh perubatan Islam yang bernama Yuhana Ibn Musawaih telah melakukan kajian mengenai anatomi tubuh manusia. Oleh kerana pembedahan mayat belum lagi dilakukan, beliau melakukan kajian dengan membedah seekor monyet. Dengan pembedahan monyet itu ilmu anatomi mata telah berkembang dengan pesat. Beliau juga turut menghasilkan buku yang bertajuk 'al-Asr Maqalat fi al-Ain' yang merupakan kitab tertua yang ditulis secara bersistematik menerangkan kaedah tentang oftalmologi.
6.Ibn al-Nafis, adalah seorang doktor perubatan dan merupakan seorang pakar bedah. Beliau telah menghasilkan teknik pembedahan dan perawatan selepas pembedahan. Dalam kajiannya, beliau mendapati darah beredar antara jantung dengan paru-paru. Kajian ini membetulkan kesilapan teori Galen Yunani.
7.Al-Nadhr telah mempelajari ilmu perubatan dari bapanya al-Harith (meninggal 23H), beliau telah membuat pil-pil yang digunakan untuk merawat penyakit kuning (jaundice).
Ahli perubatan Islam juga telah mencapai kemajuan yang penting dalam bidang pembedahan.
8.Di antara pakar bedah Islam yang terkenal ialah Abu al Qasim al Zahrawi yang meninggal dunia pada tahun 1013M. Karya beliau 'Kitab al Tasrif' sebanyak 30 jilid dalam bidang ini telah dicetak dalam bahasa Latin pada tahun 1497M dan telah digunapakai sebagai buku rujukan perubatan dan pembedahan selama 5 abad di Eropah. Di barat beliau lebih dikenali sebagai Abulcasis – The Chief of All Surgeons (Ketua Semua Pakar Bedah).
Jelas bahawa ilmu perubatan adalah satu bidang yang sangat mulia yang mesti dikuasai semula oleh umat Islam dan tidak seharusnya bergantung kepada kehebatan dan perkembangan terkini yang dipelopori oleh Barat.
Sehinggakan Imam as-Shafie (sarjana Islam kelahiran Gaza) pernah berkata bahawa:
"Aku tidak tahu satu ilmu yang lebih mulia selepas ilmu halal dan haram (ilmu Fiqh') melainkan ilmu perubatan tetapi ahli Kitab telah 'mengalahkan' kita dengan menguasainya".
Walaupun tajuk perbincangan kali ini lebih khusus untuk bidang perubatan, namun secara umumnya kita amat meyakini bahawa umat Islam perlu mengutip dan memiliki kembali khazanah kehebatan Islam. Ini boleh dicapai dengan menjadikan generasi kita sebagai generasi yang hebat jati-diri Islamnya serta mahir dan pakar di dalam apa jua bidang yang diceburi seperti bidang dakwah, pendidikan, perkembangan teknologi, kejuruteraan, ketenteraan, perundangan, kewangan, sains politik dan lain-lain sebagai langkah untuk memiliki kembali era cemerlang seumpama  zaman kegemilangan Islam yang silam.
Jom ! Cemerlang untuk ummah....

ANAK-ANAK PALESTINA




ANAK-ANAK PALESTINA
A.Samad Said

Anak-anak di Palestina
buminya rekah dan resah
dicekau senjata dan dengki;
batinnya terasak rosak
dicakar dendam yang ngeri.
Kini mentari tenat dan remuk,
cinta ditelan sekam malam.
Bumi Palestina cacat dan sakit,
sengat, racun menyentap nafasnya.
Antara duri dan kerikil mencengkam,
tempur dan cungap bersanggah,
mulut-mulut muda terus berdarah.

Anak-anak Palestina yang resah,
bara berang mengunyah alamnya
meretakkan watak dan wajah,
derita paling sengsara.
Bunga-bunga kering berapungan
darah membuak berontak.
Kekacauan menggigit kalut jiwa
cacar dan cemar; getir dan perit;
gigil dan hangus. Nisan yang nisan.
Api yang api. Api dan api.

Anak-anak Palestina bentengnya cekal.
Bapa-bapa nazak di sisi pusara;
ibu-ibu asuhi warisan yang garang
mereka tenaga gempa
yang panjang menggugat
tank, kopter dan peluru, menggelorakan
wira yang syahdu.

Musafir Palestina yang termangsa
mendobrak peragut akar watan.
Mereka, pewaris sabar dan waja
mengasihi setiap pasir buminya
melawan taufan syaitan
yang merasuk pelosok buananya
penuh gamam, penuh dendam.
Mereka retak yang tajam. Denyut menyala.
Mereka kawah marak paling merah.
Dan sengat zaman.

Anak-anak Palestina yang tergugah,
unta-unta tersisih yang luka
dalam kedurjanaan liar kasar,
dalam kemusnahan golak gelegak
belajar hidup utuh dan indah
mengutip sisa dan nadi maruah
daripada sejarah yang kusut.
Mereka rahsia telaga mesra,
pohon-pohon kurma remaja,
diranumi nurani
amarah dan sumpah bangsa
yang pantang menyerah.

Dan di sini
angin Ranau, nafas Semantan, degup Melaka,
mengucupi jantungmu yang terkelar.
Anak-anak Palestina yang tabah,
unta-unta tersingkir yang cedera,
sengat racun menyentap nafasnya.
Angin Ranau, nafas Semantan, degup Melaka,
suara saka, sakti dan sasa
menggemakan jerit dan raungmu.
Dan kau, dalam debu dan udara yang bisa,
kawah ledak saling gelegak,
enggan hangus atau pupus; dan enggan kalah.

Kegagalan bukan penamat



"Sungguh melayu pantang dicabar. Pantang lagi bila dikutuk dikeji."

Siapa tidak akan benci apabila diberi gelaran yang kita tidak suka. Macam-macam gelaran yang  kita 'terima'. Hodoh, muka buruk, pemalas, sombong, dengki, lembab, kuat merajuk, katak, penguin, tikus, pendek, gemuk, boroi dan pelbagai lagi. Tapi boleh lagi kita beri toleransi untuk sebahagian perkataan tadi, mungkin atas sebab 'menghampiri' sifat yang ada pada diri, walaupun tidak semua yang bersifat terbuka. Saya tekankan perkataan "sebahagian", biar jelas.
Bagaimana pula jika 'sifat' yang terpalit pada kita itu adalah kerana satu kegagalan yang kita hadapi? Walaupun mungkin ianya menepati diri kita sendiri, sekali dua mungkin kita boleh terima. Tapi jika sehingga berabad lama panggilan itu ditujukan kepada empunya diri, pasti akan menyentuh hati kecil kita. Benci!
"Woi, budak gagal"
"Ek eleh, dapat E, ko tengok aku, A siot"
"Dah terhantuk baru nak tergadah, baru padan muka kau"
Pantang sungguh bila diri digelar 'si gagal' oleh orang lain. Mau tidaknya, bukan hari-hari kita gagal. Entah-entah untuk isu itu hanya sekali sahaja kita rasai. Jadi, buat apa perlu saya hairankan kalau mendapat sekali dua kegagalan dalam mata pelajaran sebagai contoh. Adakah ianya merangkumi kegagalan diri saya sendiri dalam seluruh kehidupan?
Jadikan Kegagalan Sebagai Peransang 
Jika setiap kegagalan yang kita rasai dan cuba memperbesarkan cerita mengenainya, akan banyak perkara yang tidak akan dapat kita kuasai.  Cuba kita analogikan dengan situasi ini;
Hanya sebab gagal membuka pintu dengan satu kunci, kita  terus kecewa dan tidak mahu keluar/masuk rumah.
Hanya kerana internet down kita terus berhenti melayari internet selamanya  (ye ke?!) atau;
Satu petikan dalam journal kita tidak fahami, kita terus tutup buku dan tidak mahu mengulangkaji lagi.
Bukankah ianya merugikan kita. Hanya kerana gagal satu perkara kita terus menamatkan percubaan kita. Kita biarkan kegagalan menguasai diri kita. Atau hanya kerana emosi kita manjakan, kita berubah ke tahap yang lebih merugikan. Umpama kita menjadi begitu emosi hanya kerana zip baju tersangkut, sehingga terus tidak ingin lagi memakai baju untuk selama-lamanya?
Zip baju tersangkut pun satu kegagalan jugakan? Kegagalan kita untuk teruskan usaha membetulkan kesilapan, jika ianya dibiarkan terus gagal. Kalau semua hal ini kita gagal laksanakan dengan baik (tak semestinya sempurna), maka hidup kita gagal. Adakah ini suatu konklusi dalam hidup seorang manusia yang normal? Justeru, jadikan kegagalan itu sebagai peransang diri kita untuk menjadi lebih baik lagi.
Kuasai Kegagalan Dengan Tindakan
Ingat filem 'Pendekar Bujang Lapok' babak baca mantera yang merepek tu? Cobaan...
Tolak tepilah sketsa khurafat 'mantera mambang' yang disebut itu. Apa yang baik dalam babak itu sekadar ingin mengaitkan dengan cubaan yang kita hadapi semata-mata. Jika kita asyik mengungkapkan 'ini dugaan, ini cubaan, ini bala yang menimpa' tanpa ada usaha selepas itu, maka kita akan ulangi 'Cubaan' yang sama hingga selesai. Bukankah apa yang kita ungkapkan itu juga suatu doa?
Kuasailah kegagalan yang kita hadapi dengan tindakan yang positif. Bukan hanya meluahkan apa yang berlaku hanya semata-mata ingin menyedapkan hati dan diri sendiri. Tidak salah menyenangkan atau memujuk diri asbab kegagalan yang ada, namun yang menjadi silapnya apabila diri hanya sekadar banyak 'berkata' tetapi kurang 'tindakannya'
Ingatlah, diri kita tidak akan berubah hanya dengan perkataan, tetapi perubahan itu akan berlaku hanya dengan tindakan. (Hakikatnya segalanya dari Allah)
Jangan salahkan semuanya pada takdir, kerana kita seolah-olah mencabar kuasa Allah SWT. Kita lupa ayat Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."
Semakin tinggi darjat dugaan yang menimpanya, dan kemudian kita bersabar, nescaya dalam keadaan 'kemurungan' yang dia hadapai ketika itu, Allah angkat darjatnya menghampiri Diri-Nya Yang Maha Agung atas sifat sabar yang ditunjukkan.
"Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu."
(Surah Muhammad ayat 1-31)
"Jadilah Diri Sendiri"
Zaman sekolah saya dulu, saya selalu dengar lagu "Jika Kau Fikir Kau Boleh" berkumandang di televisyen dan radio. Seronok sebab zaman itu, Dr Mahathir terapkan cogan kata 'Malaysia Boleh' dan impaknya pada suasana sekitaran saya cukup jelas. Di sebalik putaran lagu ini, Malaysia dapat bina Bangunan Kembar Petronas, Sukan Komenwel, Inflasi Sifar, daki Gunung Everest dan lain-lain.
Pada saya layak beliau digelar Bapa Pemodenan atas usaha beliau mengubah pemikiran Rakyat Malaysia pada ketika itu. Bila ada saja kegagalan di sekolah, mesti ada kawan yang akan nyanyikan pada saya lagu ini. Sedikit pun tidak ada rasa berlagak memanjang atas pencapaian yang mereka dapat.
Demikianlah diri kita sendiri, jika kegagalan yang kita perolehi, jadilah diri sendiri. Maksud jadilah diri sendiri adalah bergantung kepada apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Jika kita merasakan diri kita gagal buat selama-lamanya maka kita akan berada di tempat itu buat masa yang lama. Namun, sekiranya kita juga mampu menjadi seperti rakan-rakan kita yang berjaya, berfikir bahawa kita juga boleh seperti mereka maka kita akan berubah dari setapak ke setapak yang membanggakan tanpa kita menyedarinya.
Ya, kita mampu berubah dan berjaya seperti orang lain. Jadilah diri anda sendiri yang mana anda sendiri yang menentukan diri anda sendiri. Runtuhkan tempoh "Tidak Boleh" dan binalah keyakinan bahawa anda juga mampu untuk berjaya. 

Jatuh Bangun Semula 
Biar sembilan kali jatuh, kita tetap akan berdiri untuk kali yang ke sepuluh. Jika anda labelkan diri anda gagal, maka label itu kekal milik anda sedangkan orang lain tidak akan tahu anda pernah gagal biar berkali-kali pun, asalkan anda terus berdiri dan maju kehadapan. Ingatlah, dengan melabelkan diri anda gagal, maka selagimana anda masih mengenang kembali memori lampau, selamai itu 'Kegagalan' akan terus menghantui anda.
Mungkin anda berfikir sepertimana ungkapan ini  'barang yang lepas jangan dikenang'. Tidak salah untuk merenung kegagalan semalam, namun selidik dan renungkan kegagalan untuk perbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam. Hilangkan punca yang memungkinkan kitaran itu berulang untuk kali yang seterusnya. Untuk setiap kali gagal, kita akan tahu cara yang betul untuk laksanakan sesuatu. Jadi apa yang ruginya jika dapat ketahui cara terbaik untuk diri kita sendiri?
Fikir kembali apa peluang yang telah Allah berikan pada kita. Allah membuka luas jalan untuk kita berjaya. Hanya kita sahaja ingin melaluinya atau sebaliknya. 
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."
(Surah Ali Imran ayat 159)
Buang sifat prasangka dalam diri bahawa kegagalan itu punca dari orang lain. Salahkan diri sendiri sebabnya, kita lebih tahu tentang diri kita, kekuatan kita, kelemahan kita. 24 jam sehari 7 hari seminggu dengan diri sendiri, jangankan sebab kentut sendiri busuk kita salahkan orang lain.
Betul ke apa yang aku buat sekarang ini?
Sebagai manusia biasa, kita tak berkuasa untuk tentukan apa yang akan berlaku pada diri. Itu semua ketentuan Allah SWT. Apa yang mampu kita buat hanyalah berusaha sebaik mungkin kerana Allah yang Sebaik-baik Perancang.
"Dan orang-orang itupun merancangkan dan Allah jua merancang dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang Perancang."
(Surah Ali Imran ayat 54)